Syed Jalaludin bin Syed Salim, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Dr., 1953- (Naib Canselor Ketiga)
Dates
- Existence: 1944
Biography
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim dilahirkan pada April 1944 di Arau, Perlis. Beliau telah mendapat pendidikan awal di Stellar Maris School, Kangar dan pendidikan menengah di Saint Xavier School, Pulau Pinang dan seterusnya di Maktab Tentera DiRaja (Cadet Wing), Sungai Besi. Pada tahun 1962, beliau telah melanjutkan pengajian di University of Punjab, Lahore, Pakistan dalam bidang sains veterinari dan memperolehi Bachelor of Veterinary Science pada tahun 1967.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim memulakan kerjaya akademik apabila dilantik sebagai Penolong Pensyarah di Universiti Malaya pada tahun 1969. Beliau melanjutkan pengajian di University of London dan memperolehi Master of Philosophy pada tahun 1972. Pada tahun yang sama dan dalam usia 27 tahun, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pertanian, UM. Dalam kesibukan mengajar dan mentadbir, beliau masih boleh berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah di University of London pada tahun 1977 walaupun sebagai pelajar luar kampus.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim telah berkhidmat di Universiti Putra Malaysia (UPM) selama 26 tahun bermula sebagai pensyarah pada tahun 1975 dan dilantik sebagai Profesor pada tahun 1981 pada usia 36 tahun. Beliau pernah menyandang jawatan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Penternakan serta Ketua Jabatan Sains Penternakan sehingga tamat perkhidmatan di UPM. Beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor ketiga Universiti Pertanian Malaysia pada 5 Jun 1994 hingga 17 April 2001.
Perkembangan kerjaya Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin diringkaskan seperti berikut:
1969-1972 : Penolong Pensyarah
1972-1975 : Pensyarah University Malaya (Fakulti Pertanian)
1976-1978 : Ketua Jabatan Sains Haiwan, University Putra Malaysia
1978-1983 : Dekan Fakulti Perubatan Veterinar dan Sains Haiwan
1983-1984 : Timbalan Naib Canselor (Pembangunan dan Kewangan)
1984-1994 : Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik)
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim telah memberi kepimpinan yang amat berkesan kepada pembangunan profesion veterinari di Malaysia. Beliau bergiat cergas dalam pelbagai persatuan dengan memegang jawatan-jawatan penting seperti Presiden Malaysian Veterinary Association, Presiden Malaysian Society of Applied Biology, Presiden Malaysian Society of Animal Production, Presiden Veterinary Association of Malaysia dan Naib Presiden Malaysian Society of Applied Biology. Antara jasa beliau yang amat besar ialah menyatukan dua persatuan veterinari yang wujud di Malaysia pada tahun 1987, iaitu Malaysian Veterinary Association dan Association of Veterinary Surgeons Malaysia. Penyatuan yang dilakukan melalui penubuhan Veterinary Association Malaysia telah memperkuat profesion veterinari untuk terus mengorak melangkah dengan lebih jitu dan berkesan.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim di peringkat antarabangsa telah memegang beberapa jawatan penting seperti Council Member for the World Association of Animal Production, Council Member for the Asian-Australasian Animal Production Society, President of the International Society of Veterinary Epidemiology and Economics, President of the World's Poultry Science Association (Malaysian Branch), Chairman of Organizing Committee of the Symposium on the First Asian-Australasian Animal Science Congress, dan First President of the Asian-Australasian Animal Production Society.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim di atas segala sumbangannya telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah seperti Laureatte Sains Kebangsaan oleh Kerajaan Malaysia, Distinguished Service Award oleh Asian-Australasian Association of Animal Production Societies (AAAP), Felo Akademi Sains Malaysia, Felo Malaysian Society of Applied Biology, Profesor Emeritus UPM dan KUSTEM. Beliau turut dianugerahkan ijazah kehormat Doctor of Science (Honoris Cauca) oleh University of Hull di UK, Soka University di Jepun, Open Universtity Malaysia dan Doctor of Agricultural Technology oleh Thaksin University, Thailand.
Beliau telah menerima banyak anugerah antaranya ialah Ahli Akademik Negara oleh Sasterawan Sains Negara, Malaysia, Profesor Emeritus oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan UPM, Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Johan Setia Mahkota oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong, Darjah Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) oleh DYMM Sultan Selangor dan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (D.P.M.P.) oleh DYMM Raja Perlis.
Sumber : Prof. Madya Datin Dr. Kalthum Hashim dan Dr. Rohani Ibrahim. (2011). Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Syed Jalaludin bin Syed Salim : Gabungan akademik dan usahawan. Serdang Sun, 3 (5), 10-13.
Found in 1 Collection or Record:
Ucapan Naib Canselor : UPM - Menuju ke Era Milenium Seterusnya oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Syed Jalaludin Syed Salim
Penerbitan ini mengenai buku teks Ucapan Naib Canselor : UPM - Menuju ke Era Milenium Seterusnya oleh YBhg. Prof. Dato' Dr. Syed Jalaludin Syed Salim pada 19 Oktober 1994 bertempat di Dewan Besar, Universiti Pertanian Malaysia.
Isi kandungan buku teks ucapan ini meliputi biodata Profesor Dato' Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan teks ucapan beliau dalam dwibahasa.