Skip to main content

Nayan bin Ariffin, Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Setia Dr. , 1934- (Naib Canselor Kedua)

 Person

Dates

  • Existence: 1934-06-03    

Biography

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Setia Dr. Nayan bin Ariffin telah dilahirkan pada 3 Jun 1934 di Batu Maung, Pulau Pinang. Beliau telah mendapat pendidikan awal Sekolah Melayu Batu Maung (1941-1946), Sekolah Francis Light (1946-1949) dan Sekolah Menengah Penang Free School (1950-1953). Beliau telah memperoleh Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1954. Atas minat yang tinggi dalam bidang pertanian, beliau telah menyambung pelajaran di Kolej Pertanian Malaya dan memperolehi Diploma Pertanian pada tahun 1957. Beliau memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Pertanian di Jabatan Pertanian Kedah pada tahun 1957 sehingga Disember 1966. Beliau meneruskan pengajian dalam bidang Pertanian dan Pendidikan Pengembangan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian pada 1969 dari Louisiana State University. Kemudian beliau memperolehi Ijazah Sarjana Pendidikan Sains Lanjutan pada tahun 1970 dan berjaya menggenggam Ijazah Doktor Falsafah dari University of Wisconsin, Madison, Amerika Syarikat pada tahun 1975.

Tan Sri Nayan merupakan anak kedua daripada dua adik beradik. Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Puan Sri Hasmah Othman dan telah dikurniakan tiga cahaya mata lelaki dan seorang cahaya mata perempuan.

Prof. Emeritus Tan Sri Dato' Setia Dr. Nayan bin Ariffin merupakan Naib Canselor kedua Universiti Pertanian Malaysia bermula dari 1 Mac 1982 hingga 4 Jun 1994. Beliau merupakan perintis dalam kalangan ahli akademik yang memperjuangkan pendidikan lanjutan dalam pertanian di negara ini selain daripada memperkenalkan disiplin lain di UPM pada ketika itu yang meletakkan asas UPM sebagai sebuah universiti pelbagai disiplin.

Tan Sri Nayan telah menghasilkan lebih daripada lima puluh kertas kerja dan penerbitan mengenai Pendidikan Lanjutan. Semasa di UPM, beliau memegang pelbagai jawatan pentadbiran termasuk Ketua Jabatan Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan pada tahun 1975, dan kemudian Pengarah Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPL) pada tahun 1976, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik 1979 – 1982 dan akhirnya sebagai Naib Canselor mulai Mac 1982 hingga Jun 1994. Tan Sri Nayan mengetuai pelbagai jawatankuasa di UPM dan juga berkhidmat dalam pelbagai keanggotaan dan jawatankuasa pertanian di peringkat kebangssan dan antarabangsa. Setelah berkhidmat lebih daripada 24 tahun, Tan Sri Nayan bersara pada Jun 1994. Selepas itu, beliau telah dilantik sebagai Pro Canselor Universiti Putra Malaysia sejak 2000.

Sumber : Mohd Naim Hj Mohd Ishak dan Zakaria Sidek. (2010). Pendidikan lanjutan meluaskan penyertaan-Nayan Ariffin. Serdang Sun, 2 (1), 8-11.

Found in 1 Collection or Record:

Perancangan Akademik : Pengajaran dan Latihan

 Fonds — Container: Gedung 1/96
Identifier: MYUPM-UNIPERMA-13-676
Abstract Penerbitan ini mengenai kertas kerja Perancangan Akademik : Pengajaran dan Latihan yang telah dibentangkan oleh Naib Canselor UPM iaitu Prof. Tan Sri Dato' Dr. Nayan Ariffin di Bengkel Dasar Perancangan dan Pengurusan Unversiti di Malaysia, pada 20-22 Disember 1982 bertempat di Universiti Sains Malaysia. Isi kandungan kertas kerja ini meliputi pendahuluan, fungsi universiti, pengajaran di universiti, latihan di universiti, mekanisme latihan pengembangan, implikasi latihan pengembangan dan...
Dates: Publication: 1982-12-21