Skip to main content

Mohd Rashdan bin Haji Baba, YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dato' Indera Dr. Haji , 1935-2020 (Naib Canselor Pertama)

 Person

Dates

  • Existence: 1935-10-31 - 2020-03-30

Biography

YBhg Prof Emeritus Tan Sri Dato' Indera Dr. Haji. Mohd Rashdan Baba ialah anak jati Kampung Berkat, Chembong, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau dilahirkan pada 31 Oktober 1935. Semasa di sekolah, beliau pernah menjadi ketua murid pertama di Government English School Tampin, Tampin.

Selepas mendapat Gred 1 dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1954, beliau menyambung pelajaran di Kolej Pertanian Malaya dan lulus Diploma Pertanian dengan Kepujian Pangkat Tertinggi di Kolej Pertanian Malaya (1954-1957).

Komited untuk mencapai kelayakan akademik yang lebih tinggi, Tan Sri telah membuat keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Beliau telah melanjutkan pelajaran dalam bidang agronomi di UK dan berkelulusan Doktor Falsafah dalam Pertanian Sains dari Universiti Leeds pada Julai 1964. Kejayaan beliau telah mendapat perhatian media British dengan memaparkan beliau sebagai ‘Malayan dapat Ijazah Leeds’. Beliau juga telah ditawarkan jawatan sebagai penolong pensyarah di Universiti California di Davis, Amerika Syarikat tetapi beliau telah pulang ke Malaya untuk memenuhi komitmennya dengan penaja-penaja di Malaya.

Beliau merupakan orang Melayu pertama lulus PhD dalam bidang agronomi. Perjalanan dan semangat beliau dalam sektor pertanian diteruskan apabila beliau telah dilantik sebagai Senior Agronomi di Pertanian Persekutuan Stesen Eksperimen di Serdang, tempat yang begitu dekat di hatinya. Ketika itu, Pengetua Kolej Pertanian Malaya, G.I.M Martin telah bersara dan bersedia untuk kembali ke England dan kerajaan sedang mencari seseorang untuk mengambil alih jawatan tersebut. Seperti sirih pulang ke gagang, kerajaan telah menamakan beliau sebagai Ketua Kolej dan buat pertama kalinya jawatan ini disandang oleh Melayu. Tan Sri Rashdan telah menjadi Pengetua Kolej Pertanian pada 25 Jun 1965 pada usia 30 tahun. Beliau telah menjadi Pengetua Kolej Pertanian Malaya pada 1965 hingga 1969.

Seterusnya, beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1969 hingga 1971. Beliau telah dilantik menjadi Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia pada 4 November 1971 hingga 28 Februari 1982.Tan Sri Profesor Emeritus Dr. Rashdan Hj Baba, seorang legenda tokoh yang dikenali oleh semua muridnya sebagai ‘Bapa Pengasas Universiti Pertanian Malaysia’. Semasa berkhidmat di Universiti Pertanian Malaysia, sembilan fakulti dan dua pusat akademik telah ditubuhkan yang menawarkan sembilan belas program Sarjana Muda bersama sembilan Diploma.

Beliau telah dianugerahi gelaran Profesor Emeritus daripada Universiti Putra Malaysia pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia pada 3 Julai 1999. Beliau juga telah dianugerahkan Tokoh Akademik Negara pada 2013.

Antara anugerah yang telah diperolehi adalah:

1969 : Anugerah bintang kebesaran Johan Setia Mahkota (JSM).

1970 : Anugerah Pingat Pekerti Terpilih ( PPT) Negeri Sembilan.

1972 : Anugerah bintang kebesaran Darjah Paduka Mahkota Selangor (DPMS).

1974 : Anugerah bintang kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM).

1977 : Darjah Paduka Mahkota Selangor.

1986 : Menerima ijazah kehormat Doktor Sains dari University of Reading, United Kingdom.

1989 : Menerima ijazah kehormat Doktor Undang-Undang dari University of Leeds, United Kingdom.

1991 : Anugerah bintang kebesaran Darjah Seri Indera Mahkota Pahang (SIMP).

1995 : Tokoh Cemerlang CEO.

YBhg. Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohd Rashdan bin Haji Baba telah kembali ke rahmatullah pada 30 Mac 2020.

Sumber : Prof. Madya Dr. Rohani Ibrahim. (2009). Meninggalkan jejaknya : Mohd Rashdan Baba... Yang berwawasan. Serdang Sun, 1 (1), 10-13.