Skip to main content

Kolej Tan Sri Aishah Ghani

 Organization

Parallel Names

  • Kolej Kediaman Tiga Belas

Perkembangan

Detik bersejarah yang mencatatkan tarikh keramat bermula pada 22 Julai 1997 apabila tertubuhnya sebuah kolej kediaman baharu, iaitu Kolej Matrikulasi Universiti Putra Malaysia (UPM) atau lebih dikenali sebagai KOMAT. Menjadi platfom kepada para pelajar untuk mendiami sebuah kolej kediaman di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terulung di Malaysia, para pelajar turut berpeluang menimba ilmu pengetahuan dan mengembangkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi dalam bidang pengajian pilihan masing-masing.

Mukadimah pentadbirannya yang bertanggungjawab telah dikelolai oleh Pusat Pengajian Matrikulasi dengan pengambilan pertama pelajar bermula pada 15 Ogos 1997. Sebagai pengetua sulung, Encik Mohamad Azmi Sulong telah berjaya mengendalikan kolej ini dengan cekap dan efisyen bersama 17 orang kakitangan yang dilantik.

Setelah Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil alih pengurusan bagi Program Matrikulasi pada tahun 2000, mulai sesi Mei 2000/2001, kolej ini telah dibuka kepada pelajar-pelajar daripada pelbagai program diploma. Kini, kolej yang disayangi ini telah bertukar nama kepada Kolej Tiga Belas dan nama Kolej Matrikulasi (KOMAT) hanya tinggal dalam kenangan.

Semenjak Julai 2019, Kolej Tiga Belas telah bergabung dengan Kolej Mohammad Rashid (KMR) sebagai sebahagian daripada program Transformasi Governans UPM. Perubahan ini memberi satu perkembangan baharu kepada imej dan identiti Kolej Tiga Belas.

Tahun bersilih ganti mematangkan kita dalam segala urusan. Pihak Kolej Tiga Belas mengalami perubahan sedikit demi sedikit dari segi pentadbiran dan kendalian urusan hal ehwal Kolej. Kualiti yang ditonjolkan pihak pengurusan menggambarkan kecekapan mereka dalam melaksanakan sistem dengan kemas dan berkesan.

Tampuk kepimpinan turut mengalami perubahan bermula dari tahun 2001 oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail, Prof. Dr. Mohammed Zakaria Hussin, Y.M Dr. Tengku Azam Shah Tengku Mohammad, Prof. Madya Dr. Arifin Abdu dan sehingga kini Kolej Tiga Belas ditadbir oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor dengan penuh dedikasi dan prihatin terhadap semua warga Kolej ini.

Sistem Kolej Tiga Belas yang berteraskan kekeluargaan amat menekankan kemesraan dalam melayan pelanggannya. Pelanggan yang hadir boleh terus berhubung dengan staf yang bertugas sekiranya memerlukan bantuan atau apa sahaja yang berkaitan dengan Kolej Tiga Belas.

Dengan sejarah yang panjang, Kolej ini melalui liku-liku perubahan, yang membawa kepada kecemerlangan berterusan. Daripada sebuah komuniti kecil yang tidak dikenali berubah kepada sebuah institusi pembelajaran tidak formal yang banyak melahirkan juara dan graduan yang berdaya saing dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi. Semangat sayangkan Kolej membuatkan Kolej Tiga Belas mampu meraih pelbagai kejuaraan. Pada tahun 2012, nama Kolej Tiga Belas menjulang naik melalui program-program yang dianjurkan oleh pihak Universiti Putra Malaysia. Semoga dengan kematangan ini, Kolej Tiga Belas akan terus maju dan sukses dengan kejayaan yang dikecapi akan datang.

Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia kali ke-164 telah bersetuju dan memutuskan penamaan baharu nama Kolej Tiga Belas kepada Kolej Tan Sri Aishah Ghani dengan akronim KTAG berkuat kuasa 10 Oktober 2022. Penamaan baharu ini bertepatan dengan hasrat universiti iaitu mengangkat tokoh negarawan seperti Allahyarhamah Tan Sri Aishah Ghani yang telah banyak berjasa kepada negara dalam aspek kepimpinan wanita, pendidikan, pejuang kemerdekaan serta aktif dalam hal ehwal pembangunan sosial.

Lagu Kolej Tiga Belas

Di sini mulanya langkah kita, Yakinkan diri membentuk pribadi, Tekad di hati untuk kita berbudi, Kolej Ketiga Belas nama diberi.

Menjunjung harapan negara kita, Bersama kita mencurahkan bakti, Cemerlang akademik sentiasa dijaga, Kolej Ketiga Belas terus berjaya.

Kami siswa dan juga siswi, Berilmu berbakti wawasan kami, Biru dan kuning semangat yang dicari, Sentiasa membara dihati.

Selesa ceria serta cemerlang, Penuh gemilang lagi terbilang, Bersama kita teruskan bertekad, Agar hidup mendapat berkat.

Berdisiplin asas kejayaan, Jaminan kita untuk masa depan, Berjayalah membentuk kepimpinan, Obor penyuluh seluruh kegelapan.

Cekal menghadapi segala cabaran, Maju jayalah Kolej Ketiga Belas, Maju jayalah Kolej Ketiga Belas, Maju jayalah Kolej Ketiga Belas, Maju jayalah Kolej Ketiga Belas.