Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen
Perkembangan
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen UPM (WAZAN) secara rasminya telah ditubuhkan pada 1 Oktober 2016. WAZAN adalah singkatan daripada perkataan WAkaf, ZAkat dan EndowmeN. Dalam bahasa arab, WAZAN membawa maksud neraca atau alat penimbang yang juga disebut sebagai mizan. Pengertian WAZAN juga membawa kepada lima prinsip utama iaitu Ihsan, Hikmah, Adil, Keseimbangan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai pemenang Insentif Kutipan Zakat Ramadhan 1441H kategori Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang bulan Ramadhan 1441H/2020M. WAZAN UPM selaku penolong amil Lembaga Zakat Selangor (LZS) diperingkat IPT memperoleh kutipan zakat (zakat harta dan zakat fitrah) tertinggi RM827,081.73 untuk menduduki tempat pertama sejak kempen itu diadakan.
Penubuhan WAZAN UPM adalah sangat signifikan dalam membangunkan potensi dan momentum yang berterusan secara efektif dan efisyen sebagaimana yang dihasratkan oleh YB Menteri Pendidikan Tinggi. Ini selaras dengan sasaran yang telah digariskan dalam Buku Ungu Pelan Transformasi Pendidikan Tinggi bagi menjana pendapatan universiti yang lestari.